Nabi Juga Guna Alat Bantu Mengajar!
Abu Usman r.a berkata, “Pada suatu hari Salman r.a dan aku sedang duduk di bawah sepohon kayu. Beliau mengambil sebatang ranting kering dari pohon tersebut lalu menggoncang-goncangkannya hingga kesemua daunnya gugur.
Kemudian beliau bertanya, “Hai Abu Usman! Mengapa kamu tidak tanya aku kenapa aku berbuat sedemikian?” Sahutku, “Sila khabarkanlah padaku.”
Beliau berkata, “Beginilah Rasulullah s.a.w. lakukan di hadapanku semasa ku bersamanya di bawah sepohon kayu. Baginda ambil ranting kering pohon tersebut lalu menggoncang-goncangkannya hingga kesemua daunnya gugur seraya Baginda s.a.w bersabda, Wahai Salman! mengapa kamu tidak tanya kenapa aku buat demikian ini?” Sahutku, “Sila khabarkanlah padaku ya Rasulullah.”
Sabda Baginda s.a.w. “Bahawasanya apabila seorang Islam mengambil wudhu dengan sempurna, kemudian dia laksanakan solat lima kali sehari, maka dosa-dosanya gugur seperti mana daun-daun ini gugur.”
Lantas Baginda s.a.w membaca ayat Al-Quran (yang mafhumnya),”Dirikanlah solat pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam, sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan perbuatan-perbuatan yang buruk (dosa); itulah peringatan bagi orang-orang yang mahu ingat” (Surah Hud, Ayat 114)
Riwayat ini menunjukkan bagaimana Rasulullah s.a.w. juga menggunakan media fizikal yang dapat membantu memahamkan seseorang dengan konsep-konsep abstrak agar mudah difahami. Justeru, kenapakah kita sebagai pendidik tidak mengikut amalan Rasulullah s.a.w dalam mendidik para sahabatnya?

www.mybooks.com.my