Kajian Kompetensi Pemimpin Sekolah terima Anugerah Jasper
Sila rujuk Laman Resources untuk muat-turun Kajian Kompetensi Berimpak Tinggi Pemimpin Sekolah di Malaysia.
Petikan daripada Utusan Online:
CEBU 28 Jan – Institut Aminuddin Baki (IAB) hari ini dipilih sebagai penerima Anugerah Jasper menerusi kajian Instrumen Kompetensi Pemimpin Sekolah (Kompas) yang dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik mereka.
Anugerah itu yang diwujudkan sejak 1990 diberikan oleh kerajaan Kanada dengan kerjasama Majlis Pertubuhan Menteri-menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMO) kepada penyelidikan berkaitan pendidikan yang dianggap cemerlang.
Kompas dipilih daripada lapan penyertaan penyelidikan lain yang dihantar oleh empat negara iaitu Filipina, Indonesia, Singapura dan Vietnam.
Menurut salah seorang penyelidiknya, Rosnarizah Abdul Halim, 47, KOMPAS merupakan satu sistem atas talian yang dapat memberi maklum balas segera berkenaan kompetensi-kompetensi yang diperlukan oleh pengetua atau guru besar sekolah.
Katanya, ia mengandungi sebanyak 26 kompetensi yang perlu dimiliki oleh pengetua atau guru besar sekolah dalam usaha meningkatkan kecemerlangan sekolah menerusi kecemerlangan pemimpinnya.
“Kompas ini membolehkan pemimpin sekolah merancang pembangunan profesional berterusan mereka dan mengetahui mana-mana bahagian kompetensi yang tidak dimiliki.
“Dari situ, mereka boleh memohon untuk mengikuti kursus kompetensi tersebut secara ‘online’ dengan IAB,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita pada majlis penyampaian anugerah itu yang diadakan sempena Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEC) Ke-45 yang berlangsung di sini.
Menurut Rosnarizah, Kompas yang dibangunkan pada 2007 kini sudah diakses oleh hampir 6,000 pengetua dan guru besar sekolah di seluruh negara.
Pemilihan Kompas sebagai pemenang Anugerah Jasper membolehkan ia menerima hadiah berbentuk tajaan ke Kanada selama lapan hari untuk membentangkan hasil kajian tersebut.
Selain Rosnarizah Abdul Halim, KOMPAS turut dibangunkan oleh Dr. Amin Senin selaku ketua penyelidik, Abdul Razak Manaf dan tujuh penyelidik lain.



www.mybooks.com.my
Tahniah atas anugerah ini
Assalamualaikum Dr Amin, Tahniah diucapkan.Semoga terus aktif dalam usaha membangunkan kompetensi guru di Malysia.